Sunday, January 3, 2016

Penantian yang dinanti, bersyukur kepada-MU, alangkah indahnya menantikan saat itu. Selamatkan segalanya Ya Allah.

Anak pertama M Nur Waqiyuddin

Assalamualaikum, 
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.”
Sesungguhnya, kepada Allah kita datang dan kepada Allah jugalah kita akan kembali. Apakah persiapan kalian untuk menanti saat yang dinantikan itu? Adakah kita telah bersedia dengan sepenuhnya, apakah perkara yang kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang usia kita di muka bumi Allah ini. 

Ibadah HAJI.

Di antara kesyukuran yang tidak terhenti saya kepada Allah adalah dengan izin-Nya saya telah dipilih untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun 2014 pada usia 30-an. Kenangan terindah saya !

Terima kasih buat ibuku, beliaulah yang menjadi inspirasi malah telah mendedahkan dan memotivasikan kau untuk menunaikan ibadah haji. Malah ibu dapat menunaikan haji melalui duit yang beliau kumpul dari kerja kilang Carsem hanya sebagai seorang cleaner. Duitnya juga diperoleh dengan berniaga kuih dan kain potong.

Alangkah mulianya duit yang digunakan untuk ibadah haji itu dari duit yang diusahakan dengan titik peluh kesusahan sendiri. Seorang ibu yang hanya bekerja sebagai cleaner dapat menunaikan haji, apatah kita sebagai seorang Engineer?? Usahlah mencari pelbagai alasan sedangkan kita mampu.

Sepatutnya bagi seorang jurutera kita dapat menunaikan haji lebih cepat dengan gaji yang lebih baik, bukan? Tapi pelbagai alasan diberikan, tidak bersedialah, belum masa nak bertaubatlah dan pelbagai lagi alasan. Kita mengutamakan sesuatu yang lain contohnya membeli rumah ratusan ribu, kereta mewah dan pelbagai lagi, tidak salah untuk mengecapi semua itu, namun wajibkan kita juga berusaha untuk mengerjakan haji.

Berbalik kepada tajuk penulisan kali ini, apakah yang dinantikan itu? Benarlah kata-kata Allah dan Rasul itu bahawa Mekkah dan Madinah itu tempat dan tanah yang mulia untuk kita mengerjakan ibadah malahan bertaubat kepadanya. Malahan yang lebih mulia, apabila dapat mengerjakan haji di Mekah dan wukuf di Arafah.

Di antara doa kepada Allah yang saya ungkapkan adalah untuk mengurniakan zuriat yang ketiga, dan memohon kepadanya dikurniakan zuriat ketiga girl. Sesungguhnya Allah itu maha mendengar malahan di waktu dan tempat yang dimuliakan yakni padang Arafah. Banyak benar nikmat Allah kepada kita ini. Nikmat dan rezeki dari Allah itu dari segala segi bukan hanya dinilai dari wang dan sen, kesihatan itu juga adalah nikmat Allah. Jiwa tenang dan rumah tangga yang bahagia itu juga adalah nikmat dan redha Allah. 

3-D baby scan setelah hampir 7 bulan
Tapi berapa kali kita telah melakukan sujud syukur kepada Allah? Berapakah kali kita senantiasa memanjatkan doa kepada Allah. Betapa lemahnya kita ini, dikurniakan nikmat kita alpa dengan Allah tapi apabila ditimpa kesusahan. Selain itu, dalam sedar tak sedar sebenarnya banyak doa-doakan kita ini yang Allah telah makbulkan, maka ucapkan perbanyak alhamdulillah dan senantiasa meningkat amal-amal sunnah sebagai syukurnya kita kepada Allah.
Dijangka isteriku melahirkan anak kami pada 27 Januari 2016. Moga Allah mempermudahkan segala urusan kami, tiada tempat lain yang kami memohon pertolongan melainkan Allah. 
Betapa dia telah memakbulkan doaku, nikmat anak itu jauh lebih besar dari segalanya, dan pasti kita akan redha biarpun anak lelaki ataupun perempuan. Kita diajarkan untuk menerima Qada dan Qadar, usahlah kalian merungut andai Allah tidak memakbulkan doa kalian, kerana Allah itu maha penyayang dan dia mengetahui apa yang kita tidak ketahui.

Anak ke-2 M Nur Falah
Rezeki itu ketentuan dari Allah

Dan Firman-Nya :
“ Dan tidak ada satu binatang melata pun di bumi ini melainkan Allah-lah yang menjamin rezekinya. “ ( QS. Hud [11]: 6 )
Barangkali ada di kalangan pasangan itu, berfikir panjang untuk mempunyai anak yang ramai. Mana tidaknya dengan kos sara hidup yang kian meningkat setiap hari malahan tahun 2016 disambut dengan pelbagai kenaikan  kos kehidupan seharian dari barangan keperluan harian, cukai pendapatan, GST, dan pelbagai lagi. Namun sebagai firman Allah s.w.t di atas ini, yakinkan bahawa rezeki itu datangnya dari Allah s.w.t dan usahlah kalian risau, mampukah untuk membesarkannya. Namun , pokok permasalahan ini hasil dari penerapan sistem ekonomi kapitalis yang dipraktikkan sekarang di Malaysia, selagi sistem ini yang digunapakai, selagi itu umat Islam akan terus berada dalam kehinaan dan kesusahan.

Tapi perkara pokok yang perlu difahami ini adalah rezeki itu telah disediakan dan kitalah yang perlu berusaha untuk mendapatkan, dan Allah pasti mengurniakan bagi mereka yang berusaha dan bukan yang hanya berpeluk tubuh.

Pernah saya berbual dengan seorang warga Korea tentang jumlah anak yang dipunyai oleh keluarga di Korea dan jawapan beliau purata di Korea, mereka mempunyai anak 1-2 orang. Alasan utama yang diberikan adalah disebabkan taraf hidup yang mahal di Korea jika dibandingkan di Malaysia. Namun pernahkah kita lihat keluarga yang susah namun mereka mempunyai anak yang ramai malahan anak-anak itu berjaya? 

Akhir kalam, rezeki Allah itu datang dalam pelbagai bentuk, usahlah kalian menjadi orang yang tidak bersyukur dan melihat kebendaan semata adalah cabang rezeki dari Allah. Ketahuilah bahawa kebahagiaan, kesihatan, jiwa yang tenang, anak-anak yang soleh dan solehah, isteri yang taat, dan ibu bapa yang dikurniakan kesihatan, semua itu juga adalah pemberian dari Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah;
Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.


Iskandar Musa.

1 Januari 2016

No comments:

Google+ Followers